suria

Bantuan Banjir: MKN Tak Perlu Tunggu Senarai Lengkap - KSN

Ali Hamsa.
PASIR PUTEH: Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak perlu menunggu senarai lengkap jumlah sebenar mangsa banjir, sebaliknya boleh mula mengagihkan wang sagu hati RM500 mengikut senarai sedia ada. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata mangsa bencana yang telah disenaraikan akan mula menerima wang sagu hati tersebut pada minggu ini.

"(Sebagai contoh) seramai 1,079 keluarga polis di Kelantan sudah disenaraikan untuk menerima wang sagu hati tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini, Sabtu.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Dalam lawatan itu beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM700,000 bagi pembinaan dewan terbuka di IPD berkenaan.

Ali berkata wang sagu hati itu juga akan diberi kepada mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan banjir. 

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mempertimbangkan insentif khas kepada anggota penyelamat yang bekerja keras ketika bencana itu melanda pantai timur bulan lepas.

"Insentif khas mengenainya akan dibincangkan kemudian bagi menghargai pengorbanan pasukan keselamatan yang tetap meneruskan kerja mereka walaupun keluarga mereka turut ditimpa musibah," katanya. 

bantuan banjir, Ali Hamsa, MKN

Artikel Lain