suria

10 Penjawat Awam Antara 57 Ditahan SPRM Di Sarawak

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan 57 orang termasuk 10 penjawat awam bagi kesalahan berkaitan rasuah sepanjang tempoh antara awal tahun ini sehingga Isnin lepas.

Pengarahnya Badrul Shah Norman berkata jumlah itu turut merangkumi 13 orang awam dan seorang penjawat yang ditahan menerusi Ops Tukul yang dilancarkan sejak Oktober lalu bagi membanteras aktiviti rasuah berkaitan pembalakan haram.

Beliau berkata 42 orang sudah dihadapkan ke mahkamah dengan sembilan daripadanya menerusi Ops Tukul.

Berucap pada majlis makan malam bersama media di Kelab Golf Sarawak di sini malam ini, katanya dari aspek pencegahan, SPRM bersama Jabatan Hutan Sarawak berjaya mengadakan Majlis Ikrar Integriti Korporat (CIP) dengan pemain industri pembalakan di Sarawak.

"Ini merupakan satu kejayaan yang amat bersejarah kerana julung-julung kali syarikat-syarikat gergasi dalam industri pembalakan di Sarawak menyatakan ikrar untuk berurusan secara telus dan penuh integriti dalam urus niaga dan urusan pembalakan mereka," katanya.

Badrul berkata pihaknya akan terus berusaha untuk lebih proaktif dalam isu rasuah yang dibangkitkan orang ramai dan bertekad untuk meningkatkan lagi keterlibatan dengan pihak NGO, pemimpin masyarakat, sektor swasta dan masyarakat setempat bagi menyampaikan mesej berkaitan antirasuah.

Ops Tukul, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain