suria

JKM Periksa Taska Berdaftar Empat Bulan Sekali

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan pemeriksaan berkala empat bulan sekali terhadap semua premis taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang berdaftar, persidangan Dewan Negara diberitahu Khamis.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan semua warga kerja taska mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan.

"Kementerian turut memantau pengasuh-pengasuh daripada segi kemahiran dan pengalaman penjagaan bayi agar kes kematian bayi dapat diatasi," katanya menjawab soalan Senator Datuk Rahimah Mahamad pada sesi soal jawab persidangan itu di sini.

Rahimah bertanya mengenai langkah membendung kes kematian bayi di taska dan bagaimana kementerian memantau pengasuh yang digaji majikan daripada segi kemahiran dan pengalaman penjagaan bayi agar kes itu dapat diatasi.

Selain itu, Chew berkata, kementerian menerusi JKM menguatkuasakan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) 1984 dan Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) 2012 untuk memastikan sesebuah Taska berdaftar memenuhi syarat dan standard ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan, keselesaan dan keselamatan kanak-kanak.

"Di bawah penstrukturan baharu, JKM juga mewujudkan Bahagian Penguatkuasaan dan Perundangan yang bertanggjawab memastikan kepatuhan warga kerja terlibat dengan kanak-kanak di taska memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Akta Taska 1984 dan Peraturan-Peraturan Taska 2012," katanya.

Di samping itu, pengusaha, pengurus, penyelia atau pengasuh yang bekerja di taska adalah diwajibkan mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata (Kursus Asuhan Permata) yang menitikberatkan perkembangan dan pertumbuhan serta keselamatan kanak-kanak.

Chew berkata, bagi memantau pengasuh yang digaji majikan daripada segi kemahiran dan pengalaman penjagaan bayi, Peraturan-Peraturan Taska 2012 di bawah Perkara (53) dan (54) mensyaratkan mereka wajib lulus Kursus Asuhan Permata dalam tempoh 12 bulan selepas diambil bekerja atau dilantik sebagai pengasuh kanak-kanak.

"Sekiranya selepas 12 bulan pengasuh didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan, apabila disabitkan (kesalahan), dia boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya. - Bernama

JKM, Taska, Chew Mei Fun

Artikel Sebelum

Artikel Lain