suria

Rakyat Perlu Tingkat Kemahiran Bagi Peroleh Pendapatan Tinggi

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, perlu meningkatkan kemahiran, kecekapan dan produktiviti mereka dalam usaha memperoleh pendapatan tinggi, kata pakar.

Dalam membuat saranan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Australian Human Resources Institute (AHRI) Lyn Goodear berkata penting bagi sesebuah organisasi, sektor awam dan swasta untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang sumber manusia dan pengurusan.

Beliau berkata memupuk tenaga kerja muda untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mempelajari kemahiran baharu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, tetapi juga akan membantu merealisasikan Wawasan 2020.

"Malaysia telah menetapkan agenda negara yang kukuh (Wawasan 2020), dan saya kira sumber manusia memainkan peranan penting untuk membina keyakinan dan tenaga kerja berkemahiran.

"Kita perlu mewujudkan persekitaran kerja yang menarik dan mencabar untuk generasi muda," katanya kepada Bernama, sambil menambah usaha itu perlu dilakukan secara berterusan.

AHRI merupakan pertubuhan profesional Australia bagi golongan pakar dalam pengurusan manusia, menyediakan perkhidmatan pendidikan dan latihan dalam sumber manusia, mengadakan persidangan bertaraf dunia dan seminar serta peluang rangkaian di seluruh Australia dan dunia.

Di bawah program pensijilannya, AHRI turut menetapkan standard melalui akreditasi kelayakan sumber manusia yang diiktiraf di seluruh dunia.

Dalam pasaran Malaysia, AHRI bekerjasama dengan K-Pintar Sdn Bhd untuk menyokong agenda negara dan berkongsi model kecemerlangannya dengan pengamal sumber manusia bagi pembangunan keupayaan sumber manusia dan standard dalam kalangan pengamal sumber manusia.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan K-Pintar RA Thiagaraja berkata penting bagi organisasi untuk memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sebagai sebahagian daripada strategi apabila melaksanakan keseluruhan pelan perniagaannya.

"Kerajaan menyedari kepentingan untuk memperoleh dan membangunkan tenaga kerja, bagaimanapun kita memerlukan kerjasama dan sokongan yang baik daripada industri juga," katanya sambil menambah masih terdapat sebahagian besar majikan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam komitmen tersebut.

Thiagaraja berkata dengan perjanjian dimeterai antara K-Pintar dan TalentCorp Malaysia untuk menawarkan program pensijilan AHRI secara eksklusif di negara ini, ia akan memastikan pengurusan modal insan menepati standard antarabangsa. 


AHRI, Pendapatan Tinggi

Artikel Lain