suria

Gajah Ditemui Mati Dekat Lembah Danum

Seekor gajah ditemui mati di tepi jalan dekat Lembah Danum.

KOTA KINABALU: Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah sedang menyiasat punca kematian seekor gajah dewasa dekat Lembah Danum.

Bangkai gajah itu ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan oleh sekumpulan pelancong bersama pemandu pelancong mereka, dalam perjalanan ke kawasan stesen penyelidikan ladang dan kawasan pemuliharaan yang terkenal, kira-kira 74 kilometer dari pantai timur Lahad Datu pada Isnin pagi. 

Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan berkata, masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kematian gajah itu, dan bedah siasat sedang dilakukan bagi menentukan bagaimana atau mengapa haiwan itu boleh mati.

"Tiada petunjuk tentang bagaimana ia mati. Tidak ada kesan tembakan.

"Kita sedang menyiasat tetapi buat masa ini, kita perlu tunggu keputusan bedah siasat terlebih dahulu," katanya pada Selasa.

Sekeping gambar gajah yang ditemui mati itu telah dimuat naik di Facebook, dan mencetuskan luahan orang ramai mengenai kebimbangan mereka bahawa insiden pembunuhan gajah berlaku lagi.

Pada Januari tahun lepas, sebanyak 10 gajah spesis pygmy ditemui mati di pantai timur Tawau.

Gajah-gajah berkenaan dilaporkan diracun tetapi insiden itu terus menjadi misteri kerana tiada bukti untuk mengesahkan kes tersebut.

Artikel Lain