suria

Mahasiswa Jangan Mudah Terpedaya Dakyah Pembangkang - Ibrahim Shah

Ibrahim Shah

KUALA LUMPUR: Golongan mahasiswa diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah parti pembangkang sebaliknya perlu berfikir secara waras untuk meneruskan agenda transformasi negara.

Pengerusi Biro Pendidikan Umno, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah yang memberikan peringatan itu berkata mahasiswa juga perlu bijak menilai segala perkara atau 'posting' pembangkang melalui media sosial.

"Mahasiswa berhak untuk membaca tetapi mereka harus memahami media baharu tidak memberikan 100 peratus fakta tepat malah lebih 50 peratus hanya pandangan negatif tidak berasaskan kepada fakta dan ilmu pengetahuan.

"Jangan mudah dipengaruhi dakyah pembangkang," katanya ketika memberi ucapan pembukaan pada hari kedua Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (Pemanas) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Beliau berkata, kebanyakan media sosial sekarang telah merosakkan pemikiran generasi muda kerana generasi itu mudah mempercayai 'posting' tanpa usul periksa.

"Itu kerisauan sekarang, yang mana generasi muda selalu terima maklumat dari media baharu tanpa berfikiran rasional. Anak muda sering menggunakan media baharu sehingga tidak melihat media lain.

"Oleh itu, kita kenalah bijak menilai yang baik atau buruk, dan sebelum buat persepsi dan kesimpulan, kita mesti mendapatkan berita dan informasi tepat dari sumber sahih," katanya.

Ibrahim Shah mendakwa strategi parti pembangkang ialah untuk menghapuskan sokongan anak Melayu terhadap Umno dengan mempengaruhi graduan muda yang berpendidikan dengan persepsi dan propaganda untuk memecah-belahkan kesatuan bangsa.

Katanya, generasi muda perlu sedar bahawa Umno merupakan satu-satunya parti yang mampu membela nasib mereka secara keseluruhan pada masa hadapan, serta mengekalkan suasana politik yang stabil di negara kita.

"Bila kita (bangsa Melayu) tidak bersatu-padu, ia akan melemahkan dan menghancurkan kekuatan yang ada. Kalau orang bukan Islam mula memerintah negara, mereka akan menindas dan menzalimi orang Islam. Sebaliknya, orang Islam memerintah, bangsa lain akan tetap dijaga kebajikan mereka," jelas beliau.

"Tanpa sokongan generasi muda seperti anda (mahasiswa), kerajaan sendiri tidak mampu untuk meneruskan kekal memerintah negara dan orang Melayu tidak akan dapat memerintah negara lagi," kata Ibrahim Shah.

Pada persidangan kedua Pemanas, lapan kumpulan mahasiswa dipilih untuk mengutarakan usul berdasarkan topik masing-masing iaitu agama, politik, ekonomi dan sosial, selama 20 minit dalam persidangan ala-Parlimen.

Antara topik ialah penghayatan wasatiyyah dalam kalangan generasi muda, ancaman terhadap Islam di Malaysia, survival Dasar Pendidikan Kebangsaan, kebolehpasaran graduan Melayu dalam dan luar negara, cabaran kos sara hidup mahasiswa Melayu dan peranan media baharu dalam senario politik Malaysia.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia Ibrahim Ali menerangkan satu Jawantakuasa Panel Pemilih Jurucakap akan memilih lapan mahasiswa, iaitu dua jurucakap untuk berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2014 dan dua lagi masing-masing untuk Persidangan Sayap Pemuda dan Puteri manakala empat lagi akan dijadikan jurucakap simpanan.

Persidangan Pemanas yang bermula semalam merupakan hasil kerjasama Kelab Umno Luar Negara dan Biro Pendidikan Umno Malaysia, adalah satu daripada inisiatif Umno untuk mengangkat suara mahasiswa dalam perhimpunan ini.


Artikel Lain