suria

Bunuh Isteri & Dua Anak, Bekas Ahli Perniagaan Diperintah Bela Diri

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan bekas ahli perniagaan, Jacob Tiang Lee Yee, 44, membela diri terhadap pertuduhan membunuh isteri dan dua anaknya serta cuba membunuh seorang lagi anak lelakinya.

Dalam keputusannya di akhir kes pendakwaan, Hakim Supang Lian berkata pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie dalam empat daripada lima pertuduhan terhadap Tiang. 

Pihak pendakwaan mengemukakan 42 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung 32 hari itu.

Tiang berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Ling Yung Ming, 44, (isterinya), Christine Tiang Soon Ai, 14, (anak perempuan) dan Victor Tiang Soon Sheng, 2, (anak lelaki) pada 5 Julai tahun lepas antara 6.20 pagi hingga 9.50 pagi di rumah mereka di kawasan perumahan Pulau Li Hua di sini.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba menyebabkan kematian seorang lagi anak lelakinya, Vincent Tiang Soon Thai, 17, pada hari, masa dan di tempat sama.

Tiang bagaimanapun dibebaskan daripada satu lagi tuduhan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

Tiang, yang kelihatan tenang selepas mendengar keputusan itu, memohon kebenaran mahkamah untuk mengunjungi pusara isteri dan dua anaknya.
Bagaimanapun, Supang menolak permohonan itu dan berkata kes itu sedang dalam perbicaraan.

Tiang diwakili peguam Ben Lau manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz.

Perbicaraan bersambung pada 26 November.
bela diri, Jacob Tiang Lee Yee

Artikel Berikut

Artikel Lain