suria

Chai Lebih Selesa Menetap Di England

Chai ketika hadir untuk perbicaraan kes cerainya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat.
KUALA LUMPUR: Bekas Miss Malaysia, Puan Sri Pauline Chai Siew Phin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa beliau dan suaminya, jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng memilih untuk menetap di Rossway Park di England pada 2009.


Chai, 67, berkata, keputusan itu dibuat selepas Khoo pulih daripada penyakit angin ahmar.

Malahan, katanya, dia sendiri menjaga suaminya itu selama enam bulan di Malaysia.

Beliau berkata, pada Mei 2009, sebaik Khoo pulih dan dapat meneruskan kerjanya, dia menemani suaminya ke Kuala Lumpur, London dan Hong Kong, selain ke Kanada melawat anak mereka, Alfred dan anak perempuan, Angeline di Argentina.

Dalam semakan kenyataan saksi yang dikemukakan ke mahkamah, Chai berkata, tiada seorang pun anak mereka memiliki kerakyatan Malaysia atau pernah bekerja di negara ini.

Chai berkata, dia tiada kenalan yang ramai dalam komuniti di Malaysia, malahan tidak mempunyai perniagaan atau kepentingan di negara ini.

"Saya tidak boleh bercakap bahasa Melayu langsung atau mengikuti perkembangan politik Malaysia. Saya juga tidak pernah mengundi pada pilihan raya Malaysia sejak meninggalkan negara ini atau memohon untuk mendapatkan hak mengundi," katanya.

Chai juga menambah, dia tidak mempunyai akaun cukai di Malaysia kerana menjelaskan bayaran cukai di England.

Chai, Miss Malaysia/International 1969 berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Yeoh Wee Siam berhubung permohonan suaminya yang juga pengerusi bukan eksekutif Laura Ashley untuk mengetepikan keperluan menghadap badan pendamai sebelum bercerai dan untuk menentukan isu awal sama ada mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa mendengar petisyen perceraiannya.

Pada Februari tahun lepas, Chai memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah di London dan menuntut penyelesaian lebih kurang RM2.75 bilion.

Chai mahu mahkamah Inggeris membuat keputusan prosiding perceraian itu kerana dia mendakwa tidak lagi bermastautin di Malaysia sejak 1980 dan sekarang menetap di England.

Khoo, yang juga pengerusi syarikat pegangan pelaburan antarabangsa, Malayan United Industries Bhd dan kini tinggal di Ampang, Kuala Lumpur, memfailkan petisyen perceraian itu di sebuah mahkamah Malaysia tahun lepas.

Pasangan itu berkahwin pada 1970 dan mempunyai lima orang anak.

Chai meninggalkan Malaysia untuk menetap di Australia pada 1980 sebelum berpindah ke Victoria, Kanada pada 1989 bersama seluruh keluarga dan menetap di situ selama 20 tahun serta mendapat kewarganegaraan Kanada.

Seterusnya, Hakim Yeoh meminta Chai nyatakan pendiriannya sama ada mahu menyelesaikan pertikaian dalam kes itu untuk menyelamatkan perkahwinannya.

Kata Chai:"Sampai setakat ini sahaja perkahwinan ini dan ia tidak dapat diselamatkan lagi."

Mahkamah kemudiannya memutuskan untuk menetapkan keputusan kes berkenaan pada 28 November ini.








 

Artikel Sebelum

Artikel Lain