suria

Tiada Amanat, Anwar Sedia Terima Sebarang Keputusan Mahkamah - Rafizi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meninggalkan sebarang pesan atau amanat sebelum pendengaran rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan yang berlangsung mulai Selasa.


Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, Anwar dilihat sudah bersedia dari segi mental dalam berdepan segala kemungkinan yang akan diputuskan terhadap dirinya.

"Datuk Seri Anwar dalam dua-tiga bulan lepas secara mentalnya sudah bersedia, parti pun sudah bersedia dengan apa-apa kemungkinan yang berlaku.

"Jadi tak ada amanat terakhir...urusan berjalan seperti biasa," katanya ketika ditemui di luar bangunan Istana Kehakiman di sini, Selasa.

Beliau dan beberapa pimpinan tertinggi parti hadir bagi menyatakan sokongan kepada Anwar dan menuntut perbicaraan dilakukan secara adil.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata berdepan hukuman penjara adalah 'perkara biasa' bagi Anwar kerana jika dihukum penjara ia adalah kali ketiga buatnya.

Katanya, mengenali diri Anwar, beliau bukanlah seorang ahli politik yang cepat mengalah sepanjang 40 tahun kerjayanya sebagai aktivis pelajar atau ahli politik.

"Kali terakhir bertemunya pada malam Isnin ketika solat hajat, kami berborak macam biasa dan seperti biasa jugalah...dia buat lawak bodohnya," katanya.

Mengenai parti, Rafizi berkata, sehingga kini parti belum membuat sebarang keputusan sekiranya Anwar dijatuhi hukuman penjara.

Katanya, hanya sekiranya Anwar dijatuhkan hukuman penjara pada Rabu, parti akan mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan secara bersama.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain