suria

Balak Haram: Dua Lagi Didakwa Pada Selasa

SIBU: Dua lagi pembalak haram didakwa di sini pada Selasa  kerana memberi sogokan kepada anggota penguat kuasa, masing-masing dengan nilai antara RM2,000 dan RM10,000.


Kedua-dua tertuduh yang didakwa berasingan itu tidak mengaku salah setelah jurubahasa Mahkamah Sesyen Jenayah Rasuah membacakan pertuduhan ke atas mereka.

Tertuduh pertama, Law King Chai, 47 yang bertugas sebagai penyelia kem Syarikat KCL Timber Service Sdn Bhd. mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Kenedy Kumbong di atas pertuduhan memberi suapan RM2,000 kepada polis berpangkat Inspektor.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 8 September 2014 di kawasan pembalakan Kampung Boyan, di sini sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana didakwa melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 1958.

Suapan tersebut diberi kepada Inspektor Mohamad Dzakriya Abdul Kader yang bertugas di Ibu Pejabat Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am Batu Kawa, Kuching.

Hakim membenarkan King Chai diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan melantik peguam bela sebelum perbicaraan bermula mulai 15 Disember hingga 19 Disember 2014.

Selain itu, tertuduh kedua, Lee Hock Liang, 63 yang juga penolong penyelia Syarikat Bario Pasific Sdn Bhd mengaku tidak bersalah dihadapan hakim sama atas pertuduhan memberi rasuah RM10,000 kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hock Liang memberikan habuan itu kepada Penolong Kanan Penguasa Sendri Anak Ugi yang bertugas di SPRM Sarawak pada 25 April 2014 di kawasan pembalakan Sungai Antu Pala, Kanowit atas kesalahan memindahkan 300 batang kayu balak dari kawasan pembalakan Sungai Antu ke Tug Bot "Fouk Hua" tanpa dokumen pengisytiharan royalti yang sah dari Jabatan Perhutanan Sarawak.

Hock Liang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 85(1) Ordinan Perhutanan, Fasal 126 (1958) Undang-Undang Sarawak.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan melantik peguam bela sebelum perbicaraan bermula.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 9 Disember 2014 hingga 12 Disember 2014.

Bagi kedua-dua kes ini Pendakwaan SPRM diwakili Pegawai Pendakwa SPRM Sarawak, Katherine Nais.

Minggu lalu, empat pembalak haram dituduh menjadikan enam dituduh setakat ini.

Pertuduhan ini adalah rentetan Ops Tukul yang dilancarkan SPRM bermula 20 Oktober lalu bagi membanteras aktiviti rasuah yang mengakibatkan berleluasanya pembalakan haram.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 17(b) Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.


pembalak haram, Sibu, Katherine Nais

Artikel Berikut

Artikel Lain