suria

Halang Penganjuran Halloween Di Sekolah Negeri Sembilan

Kanak-kanak di New York disolek untuk sambutan Halloween.
PETALING JAYA: Kerajaan diminta supaya menghalang sebuah sekolah antarabangsa di Negeri Sembilan yang dikatakan akan menganjurkan kegiatan Halloween pada 31 Oktober ini.


Timbalan Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (IGMM), Mohd Azizee Hassan yang dipetik sebuah portal berita berkata, gesaan itu dibuat kerana sambutan Halloween bertentangan dengan budaya dan tradisi negara ini.

Bagaimanapun, tanpa menghiraukan gesaan supaya membatalkan acara itu, pengurusan sekolah itu memaklumkan sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa pihaknya akan meneruskan acara sambutan itu.

Sebuah lagi portal berita melaporkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman sebagai berkata, sambutan itu bertujuan menyebarkan fahaman ateisme.

"Kami dapati acara seumpama itu untuk menguji tahap moral atau agama seseorang dan ia selalunya dilakukan kumpulan tertentu yang bergerak tanpa berasaskan agama," katanya menerusi laman webnya.

Halloween disambut pada 31 Oktober setiap tahun yang asalnya berkaitan festival purba Celtic yang juga dikenali sebagai Samhain.

Menerusinya, adalah dipercayai orang yang meninggal dunia akan dihidupkan semula pada hari berkenaan dan mencetuskan huru hara di dunia ini.

Minggu lalu, program I Want To Touch A Dog yang diadakan di Central Park, Bandar Utama, Selangor mencetuskan kontroversi terutama di kalangan umat Islam.


Artikel Berikut

Artikel Lain