suria

Dua Beradik Hilang Di Sungai Golok Belum Ditemui

Operasi mencari dan menyelamat di Sungai Golok. Foto SAZUKI EMBONG / THE STAR

KOTA BHARU: Dua beradik yang lemas dalam kejadian bot terbalik di Sungai Golok pada Sabtu masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman berkata, sehingga pukul 4 petang tadi, kira-kira 100 anggota yang menyertai operasi itu masih gagal menemui Wan Nurdina Nadia Wan Azli, 10, dan adiknya Wan Nurhabib Naufal, 6.

Beliau berkata, operasi pencarian meliputi kawasan sepanjang tiga kilometer.

"Operasi akan dihentikan pada pukul 7 malam ini (Ahad) dan disambung esok (Isnin)," katanya kepada Bernama.

Mayat ibu mereka, Rosmiwati Zakaria, 37, ditemui pada pukul 5.45 petang Sabtu, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Anak beranak itu adalah antara 15 penumpang bot yang sedang pulang dari Pasar Mundok, yang terletak di seberang Sungai Golok, sebelah Thailand.

Rosmiwati merupakan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jerantut, Pahang sementara Wan Nurdiana Nadia merupakan murid Sekolah Kebangsaan Jerantut.

Bot itu terbalik dalam keadaan arus sungai deras berikutan hujan lebat sebelum itu. Mangsa lain berjaya diselamatkan dan ada yang berenang ke tebing.

bot terbalik

Artikel Lain