suria

MH17: Jenazah Kapten Wan Amran Selamat Dikebumi

Isteri Allahyarham Kapten Wan Amran, Mariam Yusof menyiram air di atas pusara suaminya di Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM: Jenazah juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terlibat dalam nahas di Ukraine, Kapten Wan Amran Wan Hussin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21 di sini pada pukul 11.42 pagi Selasa.

Allahyarham Kapten Wan Amran merupakan antara sembilan jenazah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.30 pagi Selasa.

Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini kira-kira pukul 11.10 pagi.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Isteri Allahyarham Kapten Wan Amran iaitu Mariam Yusof, 45, dan dua anak mereka, Wan Yunus, 10, serta Wan Irfan turut hadir majlis pengebumian.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar turut hadir pada upacara pengebumian.

Istiadat penghormatan jenazah tragedi pesawat MH17 diadakan di Kompleks Bunga Raya KLIA yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan menteri-menteri Kabinet.

Selain beliau, satu lagi jenazah juruterbang yang tiba di KLIA adalah Kapten Eugene Choo Jin Leong.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai lalu di timur Ukraine dalam penerbangannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal.

MH17, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Lain