suria

Pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri Hanya Libatkan Anjuran Kerajaan

Datuk Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR: Pembatalan Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri 2014 ketika negara diselubungi kesedihan dengan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, hanya melibatkan acara anjuran kerajaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata anggota jemaah menteri dan pemimpin masyarakat masih boleh menganjurkan rumah terbuka di kawasan masing-masing.

"Sebaiknya jangan ada hiburan yang keterlaluan, kita memang bersedih dengan kejadian itu, tetapi tidaklah sehingga tidak boleh membuka rumah kita untuk kawan-kawan datang berkunjung," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas aktiviti gotong-royong dan penyerahan kanopi tanah perkuburan anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (Sheb), di Tanah Perkuburan Batu Tiga, Jalan Ipoh, di sini Sabtu.

Sebanyak 100 kanopi disumbangkan kepada 19 tanah perkuburan sekitar ibu negara untuk keselesaan masyarakat yang ke tanah perkuburan semasa pengebumian atau menziarahi kubur.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Khamis, memaklumkan kabinet bersetuju agar Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri sempena Aidilfitri 2014 dibatalkan 
Kabinet juga bersetuju membatalkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang dijadualkan di Rembau, Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Jemaah Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada pagi 1 Syawal sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara. 

Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 43 warga Malaysia, terhempas dipercayai ditembak, di Wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Artikel Lain