suria

Masjid Bercirikan Kesenian Islam China Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membina sebuah masjid bercirikan seni bina kesenian Islam China di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pembinaan masjid itu sebagai simbolik hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China sejak 40 tahun lalu.

"Keseluruhan konsep seni bina masjid itu diilhamkan daripada seni bina di negara China yang didapati daripada kajian masjid serta seni bina di sekitar Beijing.

"Secara tidak langsung, ia dapat menarik kunjungan pelancong luar dan masyarakat bukan Islam di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kebudayaan Islam China-Malaysia 2014 di sini pada Khamis.

Beliau berkata pembinaan masjid itu juga merupakan satu penghormatan kepada kira-kira 57,000 masyarakat berketurunan Cina Muslim di negara ini.

Ekspo anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Kedutaan China di Malaysia itu bermula hari ini dan berakhir Selasa.

Bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat antara kedua-dua negara, ia memuatkan pelbagai aktiviti seperti pameran fotografi dan barangan antik serta seni kaligrafi Islam dari China.


China, Islam

Artikel Berikut

Artikel Lain