suria

Geng Pak Su Hasan Tumpas, Kes Samun Selesai

ALOR SETAR: Polis melumpuhkan 'Geng Pak Su Hassan' yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di Kedah selepas memberkas lima suspek termasuk ketuanya dalam dua tangkapan berasingan pada Selasa dan pada Khamis.

Antara yang ditahan ialah seorang remaja berumur 16 dan dua remaja berumur 17 tahun.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata lima suspek tersebut yang berusia antara 16 hingga 52 tahun diberkas di Bagan Serai, Perak dan Kuala Ketil, Baling.

"Kita menahan seorang remaja berumur 16 tahun dan dua remaja berumur 17 tahun Selasa lalu di Bagan Serai kira-kira 3.45 pagi manakala suspek berumur 26 tahun dan 52 tahun yang dipercayai ketua kumpulan itu ditahan esoknya (semalam) di Kuala Ketil pada sebelah tengah hari.

"Kesemua mereka bergerak aktif menjalankan kegiatan samun berkawan sejak awal tahun ini dan dalam tempoh sebulan ini, mereka semakin giat menjalankan kegiatan di selatan Kedah terutama Bandar Baharu," katanya kepada pemberita.

Ahmad berkata modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk rumah mangsa sebelum menyamun mereka.

"Mereka juga akan menyiksa mangsa dengan menumbuk dan memukul sebelum melarikan diri dengan hasil samun. Walaupun terdapat tiga ahlinya yang masih di bawah umur, mereka sangat berbahaya kerana bertindak secara agresif dengan mencederakan mangsa sebelum menyamun," katanya.

Beliau berkata dengan tertangkapnya suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan 14 kes samun dalam rumah di Kedah dan beberapa kes samun lain di Perak dan Pulau Pinang.

Polis turut merampas dua buah kereta, komputer riba, kamera, telefon bimbit, jam tangan dan sebilah parang daripada suspek.


Polis

Artikel Lain