suria

Empat Kaki Curi Kereta Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kumpulan pencuri kereta yang dikenali sebagai "Geng Koloi" apabila empat anggotanya ditahan dalam satu operasi khas minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata polis turut merampas enam buah kereta lama yang dipercayai kereta curi bernilai RM80,000.

Dalam operasi empat hari mulai 23 Jun, polis menahan seorang mekanik di sebuah bengkel di Shah Alam dan tiga lagi ditahan di beberapa kediaman di sekitar Cheras, katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata kumpulan itu aktif mencuri kenderaan lama dan ia melibatkan 29 kes sejak tahun lalu yang dilaporkan di kawasan Cheras.

Polis turut menemui enam kereta curi, iaitu tiga buah kereta Proton Satria, sebuah Proton Putra, sebuah Proton Waja dan sebuah Honda Civic.

"Modus operandi kumpulan ini ialah, seorang daripada empat lelaki itu akan pergi di suatu kawasan di Cheras untuk mencuri kereta manakala tiga lagi bertindak sebagai ejen untuk menjual kereta berkenaan dengan harga RM3,000 hingga RM4,000 sebuah," katanya.

Siasatan polis mendapati setelah dijual, pembelinya akan mengambil bahagian tertentu kereta itu untuk dijadikan alat ganti, katanya.

Mohan Singh berkata empat lelaki itu, yang berumur 30 dan 40 tahun, kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki kereta curi dan melupuskan kenderaan itu. 


Cheras, Polis, Curi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain