suria

Dokumen Penyelewengan Adun Kuala Kubu Baharu Diserah Kepada SPRM

PUTRAJAYA: Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasamengemukakan dokumen didakwa bukti penyelewengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Presidennya Ramesh Rao mendakwa Adun Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong ketika menjadi anggota Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah terbabit penyalahgunaan kuasa, penyelewengan wang peruntukan kerajaan dan rasuah.

"Saya dan Tony Tan Chee Chong yang merupakan bekas pembantu peribadi Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, telah memberikan maklumat secara lengkap secara lisan dan menyerahkan dokumen berjumlah lebih 60 muka surat mengenai salahlaku Lee kepada seorang wakil SPRM," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen itu kepada wakil SPRM di sini.

Dalam pada itu, Ramesh berkata pihaknya menerima aduan daripada 18 kontraktor yang mendakwa menjadi penyumbang dana kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, tahun lepas, yang membabitkan jumlah wang yang banyak.

"Kami mempunyai senarai nama-nama kontraktor berkenaan yang mendakwa bahawa pembangkang menjanjikan pemberian kontrak kepada mereka di Selangor dan Pulau Pinang tetapi akhirnya pembangkang tidak mengotakan janji-janji mereka," katanya.

Beliau berkata banyak lagi salah laku anggota pembangkang akan didedahkan pada masa depan selepas mendapat bukti-bukti yang sahih kelak.


SPRM, Kuala Kubu Baharu

Artikel Sebelum

Artikel Lain