suria

MH370: Kunjungan Ke Beijing Berhasil - Hamzah

BEIJING: Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin menyifatkan kunjungan beliau ke China bersama pengerusi tiga jawatankuasa kecil peringkat menteri mengenai kehilangan pesawat MH370 sebagai berjaya dan tepat pada masanya. 

Katanya kunjungan itu bertujuan meningkatkan kefahaman kedua-dua negara tentang tragedi kehilangan pesawat berkenan, di samping memperteguhkan lagi prinsip perjanjian tiga pihak melibatkan Malaysia, China dan Australia. 

"Perjumpaan ini amat berjaya. Kami bincang pelbagai isu, termasuk berkaitan teknikal, penggunaan aset dan waris penumpang," katanya. 

Mesyuarat yang diadakan juga membuat ikhtisar tentang beberapa prinsip baharu berhubung operasi yang dirancang kedua-dua pihak selepas pengumuman dibuat mengenai kawasan pencarian baharu MH370.

Hamzah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Waris mengenai MH370, berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada Jumaat malam.

Menurut Hamzah, rakan sejawatannya dari China Xie Hangsheng memaklumkan beliau memahami budaya dan mekanisme yang digunakan Malaysia untuk menyelesaikan isu berkaitan sanak saudara penumpang China yang terlibat dan operasi mencari dan menyelamat berhubung tragedi itu.

"Kami ingin bersikap telus dengan mereka agar tidak timbul salah faham dalam proses komunikasi," kata Hamzah.

Mengenai perasaan tidak puas hati anggota keluarga berhubung isu berkenaan, beliau berkata mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pusat sokongan dan komunikasi keluarga, yang ditubuhkan di sini atau menghubungi talian utama atau hotline pusat itu.

"Saya berjumpa beberapa orang daripada mereka dan kebanyakannya lebih suka berjumpa dengan saya secara pribadi, bukan dalam kumpulan besar," katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan mereka sedar bahawa banyak isu berkaitan tragedi ini melibatkan kerahsiaan.

Beliau bagaimanapun berkata jawapan berhubung isu teknikal mungkin lewat diberi kerana ia perlu disahkan terlebih dahulu.

Tiga jawatankuasa kecil berkenaan ialah Jawatankuasa Penggunaan Aset, Jawatankuasa Teknikal dan Logistik dan Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media.

Jawatankuasa kecil itu masing-masing dipengerusikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Artikel Lain