suria

KPDNKK Tetap 4 Langkah Kekang Ketirisan Jualan Diesel, Petrol Subsidi

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan empat langkah bagi mengekang kegiatan penyelewengan dan ketirisan bahan petroleum dan diesel bersubsidi diseluruh negara.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata langkah pertama khusus bagi Sabah iaitu kuota penjualan diesel dan petrol di setiap  stesen minyak di daerah-daerah pantai timur Sabah dihadkan kepada 600,000 liter sebulan berkuat kuasa 1 Julai.

"Pada masa kini, penjualan diesel antara 100,000 hingga 700,000 liter sebulan. Jadi melihat isu penyeludupan dan penyelewengan diesel subsidi kenegara jiran, kita memutuskan penjualan diesel dan petrol dihadkan kepada600,000 liter setiap stesen minyak setiap bulan.

"Terdapat 72 buah stesen minyak di daerah berkaitan bermula dari Kudat,Semporna hingga Tawau," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata pengusaha stesen minyak perlu memohon kepada Pengarah KPDNKK Sabah Severinus Tukah bagi pertimbangan untuk mendapatkan kuota tambahan.

Alias berkata langkah kedua membabitkan kelulusan kuota bahan api bersubsidi itu bagi setiap stesen minyak di seluruh negara akan ditetapkan oleh KPDNKK negeri dan tidak lagi oleh syarikat-syarikat minyak dan gas seperti sebelum ini,berkuat kuasa 1 Ogos.

"Langkah kedua ini akan dimasukkan sebagai syarat wajib bagi setiap pam stesen dan mereka perlu membuat laporan bulanan kepada KPDNKK negeri bagi jualan setiap bulan bagi diesel dan petrol RON95," katanya.

Bagi langkah ketiga pula, katanya KPDNKK mengarahkan pengusaha pengangkutan minyak subsidi yang mendapat kontrak dengan syarikat-syarikat minyak dan gas perlu menyeragamkan warna lori tangki kepada warna biru dan mempunyai tulisan bersaiz besar 'minyak subsidi', berkuat kuasa 1 Januari 2015. 

"Syarat itu akan dimasukkan dalam permohonan lesen surat kebenaran PDA 3 (untuk pengangkutan bahan-bahan petroleum)...sekarang kita mendapati ada pelbagai warna...(ini) bagi mengelak mereka menyelinap dan memasuki kawasan yangtidak sepatutnya," katanya.

Bagi langkah terakhir, beliau berkata ia membabitkan syarat bagi permohonan kuota khas tambahan pada "flipcard" bagi kategori pengangkutan awam seperti bas sekolah, bas ekspres, bas mini, bas henti-henti, kereta sewa, teksi dan ambulans.

"Pada masa kini, mereka menikmati subsidi RM1.68 seliter, dan apabila habis kuota mereka layak mendapat kuota tambahan dengan harga RM2 seliter tanpa had.

Kini untuk permohonan kedua (kuota tambahan) mereka perlu memohon kepada KPDNKK negeri dengan had 500 liter bagi mengelak penjualan kepada pihak lain," katanya.  

Alias berkata langkah tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan dengan seluruh KPDNKK negeri dan mendapat persetujuan menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek bagi memastikan bantuan subsidi tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata selain itu, kementerian akan meningkatkan pemantauan terhadap pengaliran bahan api bersubsidi itu agar dapat dinikmati golongan yang layak.  

Menurutnya, kerajaan memperkenalkan subsidi diesel bermula 1999 dengan peruntukan RM83 juta dan sehingga tahun lepas, kerajaan membelanjakan RM9.6 bilion bagi subsidi diesel.

kpdnkk, diesel, petrol, 4 langkah

Artikel Lain