suria

Rakyat Bertanggungjawab Menentang Keganasan Dan Kumpulan Militan

PUTRAJAYA: Tanggungjawab untuk menentang pelampau dan pertubuhan militan terletak pada masyarakat sendiri, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, masyarakat perlu menentang dan menolak aktiviti keganasan walaupun terdapat undang-undang di negara ini yang memandang serius terhadap gejala berkenaan.

"Apa yang penting adalah masyarakat perlu bertanggungjawab dalam menentang budaya keganasan dan kekejaman di kalangan mereka yang taksub.

"Bukan hanya ibu bapa, tetapi juga sekolah-sekolah, universiti, badan-badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan, (kita) tidak harus menerima aktiviti militan.

"Kita tidak mahu Malaysia dilihat sebagai sarang yang melahirkan pengganas," katanya selepas melancarkan  Wakaf Al-Quran Kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, Jumaat.

Sehubungan itu Ahmad Zahid  menasihatkan orang ramai supaya tidak tersalah tafsir terhadap erti jihad.

"Kami berharap mereka yang tidak terlibat dalam jihad dapat memahami erti jihad sebenar iaitu bukan membunuh diri.

"Jangan silap tentang istilahnya (jihad) dan jangan dipengaruhi oleh mereka (yang merekrut orang ke jalan keganasan)," ujarnya

Syria, KDN, Putrajaya

Artikel Lain