suria

Sifat Lembut Orang Melayu Perlu Diubah

ALOR GAJAH: Sifat lembut orang Melayu yang menjurus kepada perasaan mudah kasihan, senang merajuk dan selalu tersentuh perlu diubah sekiranya mereka mahu menjadi usahawan berjaya dan berdaya saing tinggi, kata Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.

Justeru beliau berkata sifat lembut itu perlu diubah kepada keteguhan yang menjurus kepada nilai ketegasan, kerajinan dan sifat tidak mudah menyerah kalah di samping memupuk nilai Islam seperti amanah, siddiq (jujur) dan fatanah (kebijaksanaan).

"Memang sukar bagi orang Melayu berubah, tetapi sekiranya kita menanamkan dalam diri sendiri aku ingin berubah sedalam-dalamnya, saya percaya kita boleh berubah dan menjadi usahawan berjaya selepas ini.

"Saya sudah bosan melihat orang Melayu dilabel lembik dalam berniaga, susah sikit rugi sikit terus jual perniagaan, anda generasi muda Melayu jangan terikut-ikut dengan cara ini," katanya ketika merasmikan Program Usahawan Kreatif Universiti Teknologi Mara Melaka Kampus Alor Gajah di sini, Khamis.

Lebih 300 pelajar institusi pengajian itu menghadiri program sehari bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang peluang perniagaan dan bantuan pembiayaan yang boleh diperoleh mereka apabila menamatkan pengajian kelak.

Rahim berkata mahasiswa Melayu di negara ini merupakan harapan kepada semua orang Melayu untuk membawa taraf kehidupan bangsa itu ke tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang.

"Tanpa cendekiawan yang mampu menyumbang untuk bangsa kita, saya percaya kita tidak akan ke mana-mana jadi anak saya ini semua jangan jadi mahasiswa yang tunggu bantuan kerajaan semata-mata, bangun berusaha tingkatkan ekonomi tingkatkan kehidupan kita semua," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau menyarankan generasi muda Melayu mencontohi generasi muda kaum Cina yang sanggup bekerja dengan apa sahaja keadaanya untuk memperoleh pengalaman bagi membina perniagaan.

"Mereka dimarahi dan dicaci tetapi mereka tidak mudah merajuk atau tersentuh macam orang Melayu, mereka tunduk dan terus buat yang lebih baik demi pengalaman juga untuk mengenal rangkaian perniagaan, bila cukup yakin mereka buka perniagaan sendiri dengan apa mereka dapat dan mereka berjaya.

"Tidak salah untuk bekerja selepas tamat pengajian, tetapi niat kita bekerja itu perlu ditetapkan untuk mencari pengalaman untuk membuka perniagaan, bukan untuk kerja selesa hingga ke hari tua," katanya.


Melayu

Artikel Berikut

Artikel Lain