Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Klang, Leftenan Komander Mohd Hambali Yaakup berkata mayat ditemui oleh nelayan tempatan pada pukul 4.05 petang.
"Anggota kami sedang dalam perjalanan membawa mayat ke Pos Pangkalan Hadapan (FOP) Sepang Kecil dan mayat itu kemudian akan dihantar ke hospital untuk bedah siasat," katanya.
Mohd Hambali berkata jantina mayat masih belum dikenal pasti berikutan keadaannya yang reput.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, sejumlah 20 mangsa ditemui selamat manakala tujuh lagi hilang.
Kesemua 27 penumpang itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung mereka untuk meraikan awal Ramadan.
Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas kejadian sebuah bot yang membawa 97 pendatang warga Indonesia karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada hari yang sama.
Sehingga Sabtu jumlah mayat yang ditemui ialah 14 orang manakala mangsa yang berjaya diselamatkan adalah sebanyak 63 orang termasuk 50 lelaki, 12 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan.
Mangsa yang dikhuatiri hilang masih kekal 20 orang.


