suria

Diabetis: Penjualan Minuman Bergula Dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang menjalankan kajian semula ke atas penjualan minuman bergula di negara ini dalam usaha mengekang peningkatan penyakit diabetes dalam kalangan masyarakat Malaysia. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara lain, kajian semula itu melibatkan penjualan, kandungan gula dan harga seperti yang dilakukan di Denmark, Hungary serta United Kingdom.

Keputusan kajian semula itu akan diumumkan dalam masa terdekat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Diabetes Kebangsaan kali kelima di sini Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kira-kira dua juta orang dewasa di negara ini menghidap diabetes, melebihi jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 807,000 penghidap diabetes di Malaysia pada 2025.

Beliau berkata peningkatan jumlah pesakit ini berpunca daripada kurang mengambil berat terhadap pengambilan makanan seimbang dan cara hidup sihat.

"Ini secara tidak langsung memberi kesan buruk terhadap keluarga, ekonomi dan perkhidmatan kesihatan negara," katanya.
diabetis, minuman bergula

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain