suria

Ketirisan Diesel: PAC Tidak Puas Hati Penjelasan KPDNKK

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak berpuas hati dengan penjelasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung isu ketirisan subsidi diesel.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jawatankuasa itu mendapati masih terdapat kelemahan dalam sistem agihan diesel subsidi kepada pihak yang layak hingga mengakibatkan berlakunya kegiatan penyelewengan dan penyeludupan.

"PAC akan panggil semula KPDNKK kerana belum berpuas hati dengan bentuk sistem agihan subsidi. Masih banyak kelemahan yang boleh dieksploitasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," kata Nur Jazlan pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata, antara kelemahan paling ketara ialah mengenai sistem teknologi maklumat (IT) yang digunakan kementerian itu bagi merekodkan data penyaluran diesel.

"PAC tidak berpuas hati dengan perancangan IT mereka. Kita nak tahu lebih lanjut bagaimana mereka menguruskan sistem rekod untuk mengawal isu diesel ini," katanya.

Prosiding hari ini menyaksikan PAC memanggil wakil KPDNKK serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung isu penyeludupan diesel.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei mendedahkan terdapat kes membabitkan pegawai penguatkuasa yang mempunyai simpanan RM1.5 juta hasil aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul berkata pihaknya mendapat perintah untuk menyita akaun berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata, walaupun ia bukan tanggungjawab SPRM untuk menangani kes penyeludupan diesel namun suruhanjaya itu melihat kes berkenaan daripada sudut rasuah.

Katanya, sejak 2010 sehingga kini, sebanyak 90 kes penyeludupan diesel disiasat dan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hampir RM50 juta.

Mohd Shukri berharap setiap kementerian yang terbabit dapat memastikan bahagian penguatkuasa yang menjaga minyak diesel menjalankan tangungjawab dengan amanah.

PAC, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain