suria

Dewan Rakyat Kecoh Kerana Kenyataan Hodoh

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat gamat apabila Ahli Parlimen pembangkang dan Barisan Nasional (BN) 'bertegang urat' hanya mengenai perkataan 'hodoh' yang ditimbulkan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) apabila mendakwa Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berperangai hodoh.

"Sudah jadi Timbalan Menteri, perangai hodoh juga," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Dakwaan itu mengundang kemarahan Tajuddin yang segera meminta Azmin supaya menarik balik perkataan yang diucapkannya itu.

Penghinaan itu turut mendapat pembelaan daripada ramai ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) yang berdiri membantah tindakan Azmin dan menggesa supaya Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menarik balik kenyataannya.

Menambahkan lagi kekecohan dalam Dewan yang dipengerusikan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, apabila Ahli Parlimen pembangkang turut bangkit mempertahankan tindakan Azmin.

"Gombak tak kata Pasir Salak (Tajuddin) hodoh, Gombak kata perangai yang hodoh sebab perangai Pasir Salak memang hodoh," demikian menurut Khalid Samad (PAS-Shah Alam) ketika mencelah ketika kekecohan itu.

Selepas mendengar penjelasan Khalid, Kiandee kemudiannya meminta Azmin menarik balik kenyataanya kerana dianggap melanggar Peraturan Mesyuarat, beliau bagaimanapun berkeras enggan menarik balik kenyataannya itu.

"Atas dasar apa Tuan Speaker mahu saya tarik balik? Speaker tidak boleh buat pertimbangan hanya selepas mendengar penjelasan Shah Alam," katanya.

Drama perang mulut antara Ahli Parlimen pembangkang, BN dan Kiandeee berterusan hingga hampir 30 minit kerana Azmin berkeras tidak mahu menarik balik kenyataannya.

Tingkah laku Azmin itu akhirnya mengundang Kiandee mengarahkan Azmin keluar Dewan kerana ingkar arahannya dan mengganggu persidangan Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat

Artikel Lain