suria

PM Pulang Ke Tanah Air Selepas Lawatan Rasmi Ke China

Tanda persahabatan akrab Malaysia - China.
BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas pulang ke tanah air selepas menamatkan lawatan rasmi enam hari ke China.

Diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuan Nooryana Najwa, pesawat yang membawa mereka meninggalkan Beijing International Airport menuju ke Kuching, Sarawak.

Najib tiba di sini dari Xi'an pada Rabu lalu untuk memulakan bahagian kedua lawatan rasmi beliau ke China.

Perdana Menteri berada di sini untuk menghadiri sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Lawatan itu mengimbas kembali kenangan Allahyarham bapa beliau dan Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein yang berkunjung ke ibu negara China untuk mewujudkan hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei 1974.

Semasa lawatan itu, Najib yang diiringi beberapa menteri dan pemimpin korporat terkemuka, bertemu rakan sejawatannya Li Keqiang dan Presiden China Xi Jinping.

Beliau turut menyaksikan majlis pemeteraian enam perjanjian persefahaman di peringkat kerajaan dengan kerajaan, dan 11 lagi perjanjian antara sektor perniagaan dari kedua-dua negara.

China adalah rakan datang terbesar Malaysia sejak 2009 manakala Malaysia terus menjadi rakan dagang utama China dalam Asean sejak 2008.

Tahun lalu, dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah US$106 bilion (RM339 bilion), dan Malaysia serta China bersetuju untuk melonjakkan dagangan dua hala kepada US$160 bilion (RM511 bilion) menjelang 2017.


Artikel Lain