suria

Kanak-Kanak Jatuh Eskalator Selamat Dikebumikan

Kejadian yang meragut nyawa Nurul Emielda Nadia pada Sabtu.
PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan tujuh tahun yang maut selepas terjatuh dari eskalator sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara selamat dikebumikan Ahad.

Nurul Emielda Nadia Sallehuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam, Selangor.

Dalam kejadian pukul 2 petang, Sabtu, kanak-kanak malang itu dikatakan tergelincir di tepi eskalator di aras tiga bangunan itu.

Ibu bapanya memaklumkan kepada pihak polis bahawa mereka terlepas pandang dan hanya sedar kejadian menimpa anaknya apabila mendengar bunyi sesuatu terhempas.

Mereka terkejut melihat darah yang banyak berikutan hentakan kuat pada kepala Nurul Emielda Nadia.

Bapa kanak-kanak itu enggan bercakap dengan wartawan ketika ditemui di Rumah Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) dan hanya menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan laporan media berhubung tragedi itu.

"Kamu sudah ada jawapannya, jadi kenapa perlu mendapatkan kenyataan saya lagi? Kenapa perlu melukai hati dan perasaan saya," katanya yang terus berjalan ke surau untuk menunaikan solat jenazah anaknya bersama jemaah lain.

Bapa kanak-kanak itu juga meminta supaya pihak media tidak mengganggu keluarga berkenaan berikutan tragedi yang meragut nyawa Nurul Emielda Nadia.

Dilaporkan Nurul Emielda Nadia sedang bermain berhampiran eskalator berkenaan sebelum terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di belakang kepala.

Bagaimanapunm, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan kanak-kanak perempuan itu adalah anak tunggal pasangan itu.

Beliau berkata, sebelum tragedi pukul 2 petang, kanak-kanak itu berada di pusat beli-belah tersebut bersama ibu bapa dan beberapa ahli keluarga lain untuk membeli-belah sempena cuti sekolah.



Artikel Lain