suria

1,000 Menara Komunikasi Dalam Tempoh Tiga Tahun

TELUK INTAN: Penambahbaikan jalur lebar akan diteruskan di seluruh negara dalam masa tiga tahun dengan pembinaan 1,000 menara telekomunikasi di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia termasuk agenda besar negara dalam membolehkan internet bercapaian tinggi dinikmati semua pihak.

"Kita tahu bahawa mempertingkatkan infrastrutur internet, jalan raya, api dan sebagainya, ialah merupakan antara infrastruktur diperlukan dalam sebuah negara membangun dan ia akan menjadi kayu pengukur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis kenali jiran bersama komuniti 1Malaysia di Kampung Tengah Ayer Hitam, di sini, Khamis malam.

Terdahulu, beliau turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta tahlil berjamaah sempena kemangkatan Sultan Perak Almahrum Sultan Azlan Shah di Masjid Jamek Kampung Ayer Hitam di sini.

Ahmad Shabery, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, juga menyelar pihak yang memutar belit kenyataannya baru-baru ini berkenaan pembangunan infrastruktur berkenaan.

"Ini perkara yang banyak orang salah faham. Baru-baru ini saya kata saya menyokong calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong untuk baiki internet di sini. Tetapi orang kata saya seolah-olah berjanji hanya kalau BN menang baru buat WiFI. Itu janji salah.

"Namun penambahbaikan infrastruktur ini ada banyak halangan...sebab itu apabila Datuk Mah kata nak beri kemudahan ini sudah tentu kita akan menyokong dan menjadikan Teluk Intan ini mendapat kemudahan yang dijanjikannya sendiri," katanya.

Ditanya pendapat mengenai media yang memutar belitkan kenyataannya itu, beliau berkata beliau tidak memberi kenyataan yang salah, namun ia telah diputar belitkan secara sengaja oleh media-media propembangkang.

"Kita tahu kita tak sempurna ada kelemahan, itu yang dia akan putar belitkan, sebab itu ada yang minta saya minta maaf, saya tak rasa ada apa-apa yang perlu saya nak minta maaf, kerana dia tidak melihat apakah kenyataan saya sebenar.

"Saya sokong apabila Datuk Mah katakan yang kalau dia ada sini dia pastikan Teluk Intan akan bina infrastruktur yang baik dan kita akan sokong kemudahan-kemudahan yang akan disampaikan termasuk membuat jalur lebar di sini," tambahnya.
Shabery Cheek, PRK Teluk Intan

Artikel Lain