suria

Pemilihan PKR: Masalah Teknikal Punca Kiraan Undi Di 7 Kawasan Ditangguhkan

PETALING JAYA: Proses pengundian bagi pemilihan pemimpin Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di tujuh kawasan yang sepatutnya diadakan pada Sabtu dan Ahad ditangguhkan ke 10 Mei ini berikutan masalah teknikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Johari Abdul berkata, tujuh kawasan itu adalah Setiu, Kuala Nerus, Dungun, Kemaman (Terengganu), Bukit Katil (Melaka), Paya Besar dan Jerantut (Pahang).

"Pemilihan di kawasan terbabit itu ditangguhkan untuk memastikan keadilan diberi kepada semua.

"Di Bukit Katil (Melaka), pemilihan terpaksa ditangguhkan kerana jumlah calon yang bertanding tidak mencukupi. Jadi kita perlu cukupkan kuota sebelum pengundian diteruskan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Pemilihan pada 26 dan 27 April lalu melibatkan Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka.

Sementara itu, Johari berkata keputusan pemilihan melibatkan fasa pertama pada minggu lalu hanya akan diketahui selewat-lewatnya Rabu ini.

"Kelewatan itu disebabkan masalah logistik, terutamanya di beberapa kawasan terpencil di Sarawak.

"Ada beberapa kertas undi masih belum sampai ke tangan kami. Jadi proses tersebut melambatkan proses pengiraan undi untuk kawasan pengundian fasa pertama," katanya.

Johari berkata, sejurus sahaja pengiraan undi selesai, keputusan akan diumumkan segera dalam laman web parti itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain