suria

Malaysia Minta Sokongan AS Bina Pengetahuan, Kepakaran Bangun Teknologi Hijau

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada sidang media bersama selepas mengadakan perbincangan dan mesyuarat delegasi dua hala di Seri Perdana pada Ahad. -Foto BERNAMA.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta sokongan Amerika Syarikat bagi membina pengetahuan dan kepakaran dalam membangunkan teknologi hijau.

Ini terkandung dalam kenyatan bersama Najib dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang dikeluarkan di sini, Ahad.

Najib dalam kenyataan itu, turut mengucapkan terima kasih kepada Obama atas sokongan negara berkenaan dalam pelaksanaan strategi pembangunan teknologi hijau dan kerjasama tenaga bersih di bawah Perkongsian Tenaga Komprehensif Amerika Syarikat Asia Pasifik.

Perdana Menteri juga melahirkan penghargaan kepada Obama atas sumbangan Amerika Syarikat berjumlah lebih US$60 juta (RM196.212 juta) sebagai bantuan teknikal dan kewangan kepada negara anggota Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI).

Inisiatif berhubung terumbu karang, perikanan dan keselamatan makanan (CTI-CFF) itu, meliputi kerjasama pelbagai hala bagi mengekalkan kepelbagaian sumber marin serta biologi yang terkaya di Asia Tenggara.

Kawasan Segi Tiga Terumbu Karang terletak dalam lingkungan perairan enam negara iaitu Indonesia, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina, Timor-Leste dan Kepulauan Solomon.

Satu daripada tiga penduduk di kawasan itu, dengan jumlah populasi 363 juta orang, bergantung kepada sumber perikanan sebagai makanan setiap hari.
 
"Berdasarkan visi bersama kedua-dua negara untuk membangunkan ekonomi berasaskan bio bagi mengekalkan pertumbuhan, kedua-dua pemimpin menekankan tentang pentingnya memperluas kerjasama penyelidikan sektor swasta dan kerjasama dalam bioteknologi," demikian menurut kenyataan itu. 

Najib dan Obama juga mengulangi komitmen bersama bagi memelihara kepelbagaian bio dan bersetuju memperkukuh kerjasama menangani perdagangan haram hidupan liar. 

Obama, yang melaklukan lawatan tiga hari ke Malaysia, dijadual berlepas ke Filipina pada Isnin.

Barack Obama, Najib Razak

Artikel Lain