suria

Mukhriz Bidas Tindakan Conteng Bangunan Umno Kedah, Minta Anggotanya Rasional

Setiausaha Kerja Umno Kedah, Haris Che Mat menunjukkan perkataan 'RE4MASI 2.0' yang diconteng pada bangunan Umno negeri di Alor Setar. Foto G.C. TAN / THE STAR
PETALING JAYA: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir membidas tindakan pihak tidak bertangungjawab yang menconteng dinding Bangunan Tunku di Alor Setar bagi menempatkan ibu pejabat Umno negeri.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, tindakan menconteng dinding itu bukan sekadar mencerminkan kedangkalan minda perlakunya, malah perbuatan itu menyimpang jauh dari amalan demokrasi dan budaya penuh hemah, toleransi dan saling menghormati yang sepatutnya didokong oleh semua pihak dalam berpolitik.

"Perjuangan politik yang berkesan dan bermatlamat memerlukan individu-individu yang berkeperibadian tinggi, berfikiran jauh dan perpegang pada nilai-nilai sosial yang murni. Perbuatan merosakkan harta benda dan cubaan meniup api kemarahan pihak lain bukan sahaja bercanggah dengan nilai-nilai murni tersebut malah ia juga ditegah oleh Islam.

"Saya bimbang jika hasutan sesetengah pemimpin akan menggalak para penyokong mereka jadi taksub dan hilang pertimbangan sehingga sanggup bertindak diluar batasan. Jika tidak dibendung dengan segera, adalah dikhuatiri ia boleh menimbulkan masalah yang lebih rumit dan sukar ditangani sehingga merugikan semua pihak khususnya rakyat Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dinding Bangunan Tunku merupakan antara lokasi yang diconteng perkataan "R4MASI 2.0".

Mukhriz bagaimanapun menyeru semua penyokong Umno yang marah dengan tindakan menconteng dinding bangunan Umno itu supaya berfikiran rasional.

"Diharap bertenang dan bersabar dalam menghadapi dugaan itu. Saya juga berharap penyokong Umno tidak terikut-ikut dengan sikap tidak bermoral pihak yang dangkal akal dan fikiran itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak polis supaya sentiasa mengawasi pejabat-pejabat seperti parti politik supaya insiden yang menimpa Umno Kedah tidak berulang.

"Harapan saya semoga kita berpolitik secara sihat dan beradab, menegakkan perjuangan dan fahaman dengan ikhlas dan saling menghormati dengan berpaksikan pada nilai-nilai sosial yang murni demi agama, bangsa dan tanah, air," kata Mukhriz.

Artikel Lain