suria

Wan Azizah Yakin Menang Walau Majoriti Satu Undi

Wan Azizah bertemu dengan peniaga di pasar Kajang, pagi Khamis. foto NORAFIFI EHSAN/The Star
KAJANG: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menepis pandangan kononnya 'gerakan Kajang' yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal setelah suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.

Menegaskan bahawa matlamat parti itu masih berada di landasan yang betul, Presiden PKR tersebut turut meletakkan keyakinan yang tinggi untuk menang dengan majoriti besar.

"Tidak berkecai...mana pulak berkecai? Ada saya dengar orang kata majoriti saya nanti boleh tahan (besar).

"Sokongan yang saya terima Alhamdulillah tidak berganjak," katanya ketika ditemui ketika berkempen di Pasar Kajang di sini, Khamis.

Bagaimanapun beliau optimis untuk menang di DUN Kajang walaupun hanya dengan majoriti satu undi.

"InsyaAllah sama sahaja (jangkaan menang) walau saya atau suami saya yang bertanding.

"Tapi dalam politik, menang satu undi pun dah dikira menang," katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa 'gerakan Kajang' sudah berkecai apabila Anwar tidak layak bertanding di DUN Kajang mengikut rancangan asal.

'Gerakan Kajang' dirancang PKR apabila wakil rakyatnya di DUN itu meletak jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lalu bagi membolehkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang bertanding dan menyerti DUN Selangor.

Dikatakan 'gerakan Kajang' juga dirancang bagi membolehkan Anwar diangkat sebagai Memteri Besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu Wan Azizah sekali lagi menegaskan bahawa beliau mempunyai kredibiliti tersendiri untuk dipilih sebagai wakil rakyat di DUN Kajang.

"Buktinya kehadiran saya bertemu orang ramai disambut dengan mesra dan baik... itu adalah petunjuk positif," katanya.

Artikel Lain