suria

TPM Umum Calon Balingian Sabtu Ini

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (kiri) yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) selepas mempengerusikan majlis penyelarasan Barisan Nasional Negeri Sarawak di ibu pejabat PBB di Jalan Bako di Kuching, Rabu. -fotoBERNAMA
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Balingian di Mukah, Sabtu ini. 

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telahpun memutuskan calon yang sesuai, namun pengumuman akan hanya dibuat timbalan perdana menteri.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PBB hari ini membincangkan perkara itu, dan mencapai keputusan berhubung calon berkenaan, seorang Kristian Melanau yang amat terkenal dalam kalangan penduduk setempat. 

"Kami akan memberi penghormatan kepada timbalan perdana menteri untuk mengumumkan nama itu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat PBB di sini Rabu.

N51 Balingian, kawasan pilihan raya majoriti Melanau, diisytihar kosong berikutan peletakan jawatan penyandang dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari lepas.

Khamis lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 29 Mac manakala penamaan calon pada 17 Mac.

Muhyiddin dijangka tiba di Kuching pada Jumaat.

Sementara itu Adenan, yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata keputusan untuk meletakkan seorang calon Kristian dibuat sebagai menghormati persetujuan yang dicapai sejak 1963.

Di bawah persetujuan bersama dalam kalangan kaum Melanau, sebuah daripada dua kerusi DUN iaitu Dalat dan Balingian, atau kawasan parlimen Mukah, perlu diwakili seorang Kristian Melanau.

Anggota Parlimen Mukah Datuk Seri Muhammad Leo Michael Toyad memeluk Islam beberapa tahun lepas manakala Adun Dalat Datuk Fatimah Abdullah beragama Islam.

Mukah yang merupakan kubu BN selama 40 tahun, mempunyai 13,366 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus daripada mereka adalah Melanau, 20 peratus Iban dan 10 peratus Cina.

Pada 2011, Taib memenangi kerusi DUN Balingian dalam pertandingan tiga penjuru, mengalahkan Suriati Abdullah daripada PKR dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin dengan majoriti 5,154 undi.

Artikel Lain