suria

Tiga Firma Air Di Selangor Mesti Terima Tawaran Baharu - Khalid

Abdul Khalid, ketika sidang media, Rabu.
SHAH ALAM: Tiga syarikat konsesi air di Selangor yang telah menolak tawaran RM9.65 bilion oleh kerajaan negeri untuk membeli syarikat-syarikat tersebut kini terpaksa menerima tawaran baharu dengan harga kira-kira RM2 bilion lebih rendah.

Ini berikutan keputusan kerajaan Persekutuan untuk menggunakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membolehkan kerajaan negeri membeli aset syarikat-syarikat konsesi dengan harga RM7.76 bilion.

Mendedahkan perkara ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas), yang telah menerima tawaran RM9.65 bilion pada Selasa bagaimanapun perlu dibayar dengan amaun itu.

"Ini kerana daripada empat (syarikat), hanya Abbas menerima tawaran itu manakala selebihnya perlu menerima apa yang ditawarkan sekarang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco mingguan pada Rabu.

Ditanya jika pengurusan syarikat konsesi akan ditukar, Khalid berkata ia bukan satu keperluan untuk berbuat demikian sambil menambah hanya pemegang saham perlu digugurkan.

Beliau juga berkata dengan Seksyen 114, adalah mustahil bagi syarikat-syarikat konsesi kini untuk mendapatkan timbang tara antarabangsa.

"Kerajaan negeri telah menawarkan mereka lebih tetapi mereka enggan, oleh itu, kini mereka perlu mengikuti apa yang ditawarkan kepada mereka," kata beliau sambil menambah penyusunan semula air akan mengambil masa tidak lebih daripada tiga bulan.

Khalid berkata sebaik sahaja syarikat konsesi dibeli ia akan dikendalikan oleh anak syarikat negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad.

Pada Selasa, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata ia akan menggunakan kuasanya terhadap Akta untuk membolehkan kerajaan Selangor mengambil alih tiga syarikat konsesi yang telah menolak tawaran awal.

Kerajaan negeri dan Persekutuan telah menandatangani memorandum persefahaman yang bersetuju bahawa kerajaan Selangor membeli Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash) dan Abbas.

Walaupun Splash menolak tawaran itu, Syabas dan PNSB berkata mereka bersedia untuk mempertimbangkan tawaran itu dengan beberapa syarat.
syabas, abbas, span, puncak niaga, selangor

Artikel Lain