suria

BN 'Underdog' Di DUN Sungai Limau - Muhyiddin

Muhyiddin (kiri) bersama calon BN bagi PRK DUN Sungai Limau, Dr Ahmad Sohaimi Lazim (tengah) dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (kanan) yang tiba di Dewan Dato Madi, di Yan pada hari penamaan calon pada Rabu. Foto G.C.TAN / THE STAR

YAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai calon 'underdog' dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang akan diadakan pada 4 November depan.

Bagaimanapun Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau yakin dengan sikap kematangan pengundi yang akan memilih wakil rakyat yang baharu mengikut pertimbangan yang rasional berdasarkan pencapaian kedua-dua parti yang bertanding.

"Walaupun kita (BN) dilihat 'underdog' berbanding PAS kerana bertanding di kawasan yang dikatakan kubu kuat mereka...tapi kita yakin pengundi akan buat penilaian yang mendalam dan tidak beremosi.

"Pengundi pastinya sedar bahawa apabila mereka diwakili wakil rakyat BN di negeri yang diperintah BN, maka lebih mudah untuk dilaksanakan pembangunan di kawasan ini. Ia memberi laluan yang lebih mudah untuk laksanakan semua agenda yang dirancang," katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Dato' Madi di sini, Rabu.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan dua penjuru apabila hanya wakil BN dan PAS menyerahkan borang pencalonan masing-masing sehingga proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi.

Pengawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Limau, Abd Rashid Othman mengumumkan Dr Ahmad Sohaimi Lazim daripada BN dan Mohd Azam Samat yang mewakili PAS disahkan layak bertanding.

Mengulas lanjut mengenai peluang BN di kawasan berkenaan Muhyiddin berkata, beliau yakin BN mampu memperbaiki pencapaiannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.

"Kali ini peluangnya lebih baik walaupun cabarannya lebih besar. Tapi ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk BN memperbaiki prestasi dan mencapai kemenangan," katanya.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Azizan memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1995.

Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada BN, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Artikel Lain