suria

21 MCA Bahagian Perak Sokong Chua Kekal Presiden

IPOH: Sebanyak 21 bahagian MCA di Perak pada Sabtu menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Mereka yang terdiri daripada ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian yakin dengan kepimpinan Dr Chua yang akan membawa perubahan besar kepada parti termasuk mengembalikan kegemilangan serta memperkukuh kekuatan tenaga anggota parti.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan MCA Datuk Tan Chin Meng berkata MCA memerlukan seorang pemimpin berwibawa bagi memastikan kelancaran dan perubahan yang akan membawa kepada kecemerlangan parti, selepas kekalahan besar parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata selepas PRU13, terdapat segelintir anggota yang dipimpin Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai melemparkan tuduhan terhadap presiden MCA, namun tindakan itu tidak wajar kerana presiden tidak seharusnya memikul tanggungjawab atas kekalahan parti pada PRU-13.

"Timbalan Presiden MCA (Liow) yang juga Pengerusi Jawatankuasa pengelola Pilihan Raya Umum MCA Kebangsaan, mempunyai tanggungjawab yang lebih berat lagi kerana fungsi jawatankuasa ini adalah untuk merancang dan merangka segala strategi PRU.

"Jawatankuasa itu juga mengendalikan kekesanan publisiti dan memastikan operasi bilik gerakan seluruh negara berjalan lancar dan berkesan," katanya.

Secara langsung beliau juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan kejayaan calon MCA pada PRU itu, kata Tan.

Sehubungan itu, beliau berkata MCA negeri akan terus memastikan kecemerlangan dan kegemilangan parti itu pada masa akan datang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain