suria

Pejabat Bernama Biro Terengganu Dipecah Masuk Pencuri

KUALA TERENGGANU: Pejabat Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Terengganu di Jalan Sultan Sulaiman di sini dipecah masuk pada Jumaat.

Kejadian pukul 2.45 petang itu disedari wartawan, Ahmad Erwan Othman, 26, yang kembali ke pejabat selepas menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, ketika masuk ke ruang pejabat, beliau melihat laci meja pecah dan berterabur seperti kesan digeledah. "Sebaik memasuki bilik, saya terkejut melihat komputer riba di atas meja lesap dan kemudian saya lihat pintu bilik ketua biro yang biasanya berkunci, terbuka, dan ada kesan umpilan pada pintu bilik berkenaan," katanya di tempat kejadian.

"Hasil pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang suspek berbadan gempal menutup muka dan tidak berbaju memasuki ruang pejabat menerusi pintu belakang dan menyapu ubat gigi pada setiap CCTV," katanya.

Setakat ini yang disedari hilang ialah dua komputer riba dan sebuah telefon bimbit Blackberry kegunaan pejabat.

Ketua Biro Amrizan Madian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Terengganu. -BERNAMA

Artikel Lain