suria

Demonstrasi: Rakyat Malaysia Dinasihati Tangguh, Jadual Semula Perjalanan Ke Mesir

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia supaya menangguh dan menjadual semula lawatan mereka ke Mesir ekoran demonstrasi di Kaherah dan bandar raya besar lain termasuk Faiyoum, Mansoura dan Iskandariah.

Pada masa ini kementerian berkenaan memantau rapi perkembangan terkini demonstrasi yang mengakibatkan beratus-ratus orang cedera sejak beberapa hari lepas.

"Setakat ini, tiada sebarang laporan mengenai pembabitan rakyat Malaysia, terutamanya pelajar," menurut kenyataan kementerian itu di sini, Sabtu.

Memandangkan keadaan tidak menentu terus memuncak menjelang perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan di seluruh negara pada Ahad (30 Jun), rakyat Malaysia dinasihati supaya menangguh dan menjadual semula lawatan mereka ke negara berkenaan.

Kenyataan itu turut menyebut Kedutaan Malaysia di Kaherah menasihati rakyat Malaysia yang ketika ini tinggal di Mesir supaya berwaspada dan menjauhkan diri daripada perhimpunan besar-besaran dan demonstrasi itu.

Rakyat Malaysia juga dinasihati supaya berhubungan dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah di 21 El Aanab Street, Mohandesseen, Giza, Mesir atau menghubungi talian (202) 37610013/ 19/ 68/ 73.

Mereka juga boleh menghubung Bilik Operasi Kedutaan Malaysia di 00-2-02-37610270 atau 02-37610013/02-37610068 ext 141, faks (202) 37610216.

Artikel Lain