suria

Tujuh Siri Jelajah Sistem Pemilihan Umno Yang Baru Telah Diadakan

Datuk Abd Rauf Yusoh
Datuk Abd Rauf Yusoh
Datuk Abd Rauf Yusoh

PETALING JAYA: Umno telah selesai mengadakan sesi taklimat di tujuh buah negeri mengenai kaedah pemilihan terbaru pelbagai jawatan dalam parti yang akan berlangsung pada penghujung tahun ini.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abd Rauf Yusoh berkata, antara negeri yang telah selesai mengadakan sesi taklimat ialah Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Diminta mengulas mengenai rungutan pimpinan tertinggi mahupun di peringkat bahagian atau sayap yang mendakwa mereka masih kurang jelas mengenai sistem pemilihan baru berkenaan walaupun selepas sesi taklimat diadakan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Maaf saya tidak boleh berkongsi dengan media. Saya memegang amanah pihak atasan.

"Apa yang boleh saya katakan tunggulah sehingga sesi taklimat ini selesai baru kita akan maklumkan hasil dapatan yang diterima kepada pihak media," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Difahamkan dua lagi sesi taklimat akan diadakan, iaitu sesi taklimat peringkat negeri Selangor pada Rabu depan di Bangunan Umno Selangor, sementara sesi taklimat bagi Wilayah Persekutuan pula akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis depan.

Kedua-dua majlis berkenaan dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi.

Mengulas lanjut mengenai kaedah pemilihan terbaru itu, beliau berkata sesiapa sahaja layak bertanding jawatan di peringkat bahagian mahupun Majlis Tertinggi Umno namun ada kriteria yang perlu dipenuhi kerana dikhuatiri akan mengundang masalah lebih besar jika ia terbuka secara am.

"Mereka yang berminat perlu memenuhi kriteria tertentu. Sebagai contoh untuk bertanding di peringkat Majlis Tertinggi calon itu perlu menjadi ahli jawatankuasa di peringkat bahagian selama satu penggal terlebih dahulu sebagai memenuhi kelayakan bertanding.

"Sama juga seperti di peringkat bahagian, sebelum calon itu bertanding mereka perlu menjadi AJK cawangan selama satu penggal," katanya lagi.

Bagaimanapun Abd Rauf berkata terdapat pengecualian bagi mereka yang dilantik secara terus sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno.

"Calon yang layak hanya perlu isi borang dan tidak perlu kuota tertentu untuk bertanding pada pemilihan di peringkat bahagian mahupun Majlis Tertinggi Umno," katanya.

Sementara itu memetik laman web Umno-Online, Abd Raof dilaporkan berkata kaedah terbaru yang akan dilaksanakan tidak menyusahkan mana-mana pihak untuk bertanding namun ia dipermudahkan daripada kaedah sebelum ini.

Jelasnya, kaedah dan syarat bertanding di semua peringkat jawatan dalam Umno sudah diperincikan dalam Perhimpunan Agung Umno pada 2009 dan telah disahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Siri jelajah tersebut dijangka selesai pada 30 Jun ini dan hasilnya akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk menentukan tarikh pemilihan nanti.

Pindaan Perlembagaan Umno pada 2009 membolehkan jumlah ahli mengundi bagi menentukan pucuk pimpinan tertinggi meningkat kepada 145,000 berbanding hanya 2,500 ahli mewakili Umno bahagian pada pemilihan sebelum ini.

Abd Rauf dipetik sebagai berkata, semua cawangan Umno disarankan mengadakan mesyuarat pemilihan bermula 15 Julai hingga 31 Ogos ini.

Artikel Lain