suria

Dua Wanita Nigeria Ditahan Cuba Seludup 7.8kg Syabu Bernilai RM1.48 Juta

SEPANG: Dua wanita Nigeria ditahan kerana disyaki menjadi keldai dadah menyeludup 7.8 kilogram syabu bernilai RM1.48 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata dua suri rumah itu ditahan pada kira-kira 6.30 pagi selepas pihaknya mengesan serbuk dadah yang dimampat dan disorok dalam ruang khas beg mereka semasa ia melalui alat pengimbas.

Beliau berkata beg milik wanita berumur 37 tahun didapati mengandungi 3.15 kilogram dadah bernilai RM598,500 manakala rakannya yang berumur 36 tahun membawa beg berisi 4.65 kilogram dadah bernilai RM883,500.

"Kedua-dua suspek didapati menaiki penerbangan sama dari Nigeria dan tiba buat pertama kalinya di negara ini. Mereka disyaki menjadi keldai dadah pihak tertentu," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Chik Omar berkata suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang bulan lepas, Kastam mematahkan lima cubaan menyeludup dadah di KLIA dengan merampas 25.79 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM2.12 juta.

Katanya, tiga warga asing terdiri daripada dua lelaki (warga India, 62, serta warga Pakistan, 48) dan seorang wanita (warga Kemboja, 25) ditahan apabila alat pengimbas menunjukkan mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menyorok syabu dan ketamin dalam bagasi yang dibawa.

"Ketiga-tiga mereka masih ditahan untuk tindakan selanjutnya, manakala dua lagi kes masih disiasat secara terperinci kerana menggunakan servis penghantaran cepat untuk menyeludup dadah.

"Bagi dadah yang dikesan dalam bungkusan penghantaran cepat itu, Kastam sedang menyiasat dan mengenal pasti empunya dan penerima sebenarnya dadah jenis syabu seberat 1.97 kilogram yang disorok dalam buntil dan syabu yang dibungkus dan disorok dalam tin minuman Horlicks serta makanan emping jagung," katanya.

Chik Omar juga berkata taktik menggunakan servis penghantaran cepat bagi menyeludup dadah adalah antara cara terbaharu yang dikesan pihaknya. - BERNAMA

Artikel Lain