suria

Aktiviti Pelacuran: Tiga Wanita Thailand Antara 17 Ditahan

MELAKA: Tiga wanita warganegara Thailand dipercayai terlibat dengan aktiviti pelacuran merupakan antara 17 warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Melaka di sekitar negeri ini awal hari Khamis.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata ketiga-tiga wanita berusia antara 29 dan 32 tahun yang melanggar syarat pas itu ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Malim Jaya di sini pada 2 pagi.

"Kami menjumpai minyak pelincir dan tisu bertaburan di rumah itu disyaki digunakan dalam aktiviti tidak bermoral," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati aktiviti pelacuran dengan bayaran sekitar RM150 hingga RM200 itu berselindung di sebalik khidmat urut yang disediakan di pangsapuri itu sejak tahun lepas.

Katanya kegiatan yang menyasarkan pelanggan antara lima dan enam orang sehari itu dipercayai diuruskan seorang lelaki warga tempatan yang sedang dikesan pihaknya.

Kamalludin berkata operasi penguatkuasaan melibatkan 11 pegawai Imigresen bermula pada 12 tengah malam hingga 3 pagi tadi itu turut berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, tiga lelaki warga Pakistan, lima lelaki warga India dan seorang wanita Filipina yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun itu ditahan di empat lokasi berasingan di Peringgit Jaya, Melaka Sentral, Ayer Keroh dan Taman Krubong Jaya.

Katanya operasi penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan terhadap 97 warga asing di sekitar kawasan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain