suria

Larang Penggunaan Kalimah Allah Telah Lama Diputuskan, Patut Dihormati - Mufti

SEREMBAN: Dua orang Mufti negeri pada Selasa menjelaskan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam sudah lama diputuskan dan patut dihormati.

Mufti kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah pun memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain Islam pada tahun 2008.

Beliau berkata perlu difahami bahawa undang-undang adalah berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat lain berdasarkan 'uruf' (apa yang disenangi/kebiasaan) dan realiti setempat.

Katanya prinsip 'siyasah syar'iyyah' (kaedah melaksanakan) sendiri menjadikan 'uruf' dan realiti setempat digunapakai dalam menentukan hukum syarak dan realiti di Malaysia, sekian lamanya penggunaan kalimah Allah digunakan oleh masyarakat Islam.

Justeru adalah tidak wajar realiti semasa penggunaan kalimah Allah di negara lain menjadi ukuran dan pemakaian di Malaysia, katanya.

Mohd Yusof berkata sewajarnya dalam isu melibatkan agama Islam, rujukan dan pandangan hendaklah dikemukakan kepada institusi yang menguruskan hal ehwal Islam di negara ini dan semua pihak hendaklah mengenepikan kepentingan politik demi mempertahan kesucian agama.

Adalah membimbangkan apabila ada pihak yang mempersoal pandangan dan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama serta Jawatankuasa Fatwa sebagai institusi yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Islam, katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Dalam Kalangan Orang Islam (Negeri Sembilan) 1991, jelas menunjukkan bahawa kalimah Allah dilarang penggunaannya untuk agama bukan Islam.

Pertimbangan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam melarang penggunaan lafaz Allah oleh agama bukan Islam adalag merupakan isu akidah dan maruah ummah yang wajib dipertahan oleh semua umat Islam.

"Walaupun ada pihak yang tidak sependirian dan seakan-akan cuba menyukarkan kesepakatan umat Islam, namun majoriti ummah akan terus mempertahan dan memartabat penggunaan kalimah Allah sebagai hak eksklusif umat Islam," katanya.

Di sebalik polemik ini, menjadi pengajaran kepada umat Islam bahawa kelalaian dalam mempertahan kesucian agama dengan melaksanakan tuntutan dan pegangan agama akan membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman pula berkata orang bukan Islam di Pahang dilarang menyalahgunakan kalimah Allah dan 34 perkataan lain yang dikaitkan dengan agama Islam seperti yang tertakluk dalam jadual Pentadbiran Agama Islam 1989 Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Larangan ialah dari segi penggunaan kenyataan, penyebaran percakapan, apa-apa bentuk penerbitan sama ada media elektronik atau media cetak yang boleh mengelirukan dan merosakkan akidah umat Islam.

"Perkataan-perkataan yang terkandung di bawah Enakmen nombor 5 Pentabiran Agama Islam 1989 itu menyebut jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata isu penggunaan kalimah Allah perlu diselesaikan menerusi penguatkuasaan undang-undang agar perkara yang diputuskan tidak dipertikai oleh pihak-pihak tertentu.

"Ini untuk membendung perpecahan umah dan membendung kekeliruan masyarakat," katanya. Apa yang perlu, kata Abdul Rahman, peranan penguatkuasa agama perlu lebih proaktif memandangkanselama ini penguatkuasan tidak diambil, yang mungkin menyebabkan orang ramai tidak tahu dan semakin ramai individu yang mengeluarkan fatwa sendiri.

Isu kalimah Allah ini dibangkitkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan membenarkan Bible bahasa Melayu mengunakan kalimah Allah, dan beberapa portal kemudian melaporkan pada 8 Januari bahawa majlis pimpinan pakatan pembangkang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan penganut semua agama dengan syarat tidak disalahgunakan.

Mesyuarat majlis itu turut dihadiri penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

PAS melalui mesyuarat Majlis Syura Ulamanya pada Ahad bagaimanapun menukar keputusan bahawa kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam. - BERNAMA