suria

Banyak Peluang Pekerjaan Menanti Rakyat Selangor - Abdul Khalid

KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri Selangor mengenal pasti sebanyak 20,000 peluang pekerjaan yang berpotensi untuk diisi oleh siswazah dan rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata kekosongan itu banyak terdapat dalam sektor pembuatan dan juru ukur tanah.

"Banyak proses melibatkan urusniaga tanah di Selangor memakan masa satu hingga dua tahun sebab kekurangan juru ukur tanah untuk mengukur keluasan tanah dan kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing dari India untuk membuat kerja berkenaan.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 juru ukur tanah dari Selangor untuk mengukur keluasan tanah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor (RKSS) 2012 di sini, Sabtu.

Abdul Khalid berkata pihaknya bercadang menjelajah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari golongan muda berpotensi untuk mengisi kekosongan jawatan dalam sektor pembuatan di negeri Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad Raja Idris Raja Kamarudin berkata sebanyak 60 peratus daripada 629 peserta RKSS memperoleh pekerjaan dan memulakan perniagaan sejak ia dilancarkan 30 Sept tahun lepas.

Program itu adalah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat itu meningkatkan kemahiran, ilmu dan keyakinan diri siswazah Selangor menghadapi alam pekerjaan atau perniagaan.

Raja Idris berkata selaras dengan proses penjenamaan, pihaknya akan memperluaskan program itu dengan memberi peluang kepada golongan ibu tunggal, pesara dan remaja di negeri itu mulai tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain