suria

Pembangkang Selangor Persoal Bajet Berimbang Khalid

SHAH ALAM: Pembangkang di Selangor mempersoal belanjawan berimbang yang dibentang Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam sedangkan kerajaan negeri sebelum ini sering memerlukan peruntukan tambahan.

Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman berkata walaupun kerajaan Selangor membentangkan belanjawan berimbang berjumlah RM1.63 bilion untuk 2013 tetapi beliau sangsi ia dapat dipertahan tanpa memerlukan peruntukan tambahan.

Berdasarkan pengalaman sejak tahun 2009, bajet yang dikemukakan kerajaan negeri gagal mencapai sasaran berimbang seperti yang digembar-gemburkan, kata Mohamad Satim (BN-Sri Serdang) semasa perbahasan Belanjawan 2013 di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Selasa.

Beliau berkata pada tahun 2009 belanjawan Selangor memerlukan tambahan RM120 juta menyebabkan peruntukan belanjawan tahun itu meningkat daripada RM1.4 bilion semasa dibentangkan kepada RM1.52 bilion.

Bahkan belanjawan pada tahun lepas yang pada asalnya dibentangkan pada RM1.43 bilion terpaksa ditambah berjumlah RM199.98 juta yang dimohon sebanyak tiga kali, menyebabkan belanjawan pada tahun itu meningkat kepada RM1.63 bilion, katanya.

Mohamad Satim mendakwa sungguhpun Abdul Khalid dikatakan berpengalaman dalam dunia korporat, terdapat keputusan dan tindakan beliau yang menunjukkan gagal menguruskan belanjawan negeri dengan cekap kerana perancangan yang tidak teliti dan kurang profesional.

Beliau memberi contoh isu tanah Yayasan Basmi Kemiskinan, penyelesaian isu air percuma dan penstrukturan industri air Selangor, pengurusan sampah serta kegagalan menunaikan janji-janji dalam manifesto pilihan raya umum 2008 yang memerlukan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.4 bilion.

Antaranya ialah RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor berjumlah RM39.8 juta, bantuan RM75 sebulan kepada setiap anak yang dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak (nurseri) berjumlah RM122.2 juta, perubatan percuma warga 65 tahun ke atas berjumlah RM289.9 juta dan rebat cukai pintu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjumlah RM1 juta.

Mohamad Satim berkata walaupun Abdul Khalid menjelaskan bahawa manifesto pilihan raya bukan janji, tetapi rakyat tidak dapat menerima dan mereka menuntut janji-janji semasa pilihan raya lepas, yang telah mendorong mereka memilih pakatan pembangkang.

Seorang penyokong kerajaan Md Shuhaimi Shafiei (PKR-Sri Muda) bangun mencelah mempertikai ucapan Mohamad Satim dan berkata ia isu lama yang dikitar semula dan mencari kesilapan kerajaan negeri.

Mohamad Satim berkata apa yang dibangkitkannya ialah suara hati rakyat, iaitu janji-janji dalam manifesto yang masih belum ditunaikan dan rakyat akan terus bersuara selagi mereka tidak mendapat hak mereka.

Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer) pula mempertikai tindakan kerajaan Selangor meningkatkan bayaran premium tanah Kampung Bendahara di Selayang sehingga RM9 sekaki persegi.

Menurutnya kira-kira 2,000 penduduk kampung itu tidak mampu untuk membayar kadar premium tanah mereka yang tinggi untuk tanah mereka sedangkan semasa zaman Barisan Nasional mereka hanya perlu membayar RM1 sekaki persegi.

Subahan kemudian diarah keluar daripada dewan selama sejam oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim kerana melanggar peraturan dewan semasa meminta penjelasan daripada M.Manoharan (DAP-Kota Alam Shah) yang mendakwa BN mempunyai kepentingan dalam pengurusan kuil Hindu di Batu Caves.

Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baru) pula berkata dakwaan kerajaan Pakatan Rakyat bahawa kononnya BN tidak berusaha mengambil alih hutang Talam Corporation Bhd semasa memerintah adalah tidak benar.

Beliau berkata sebenarnya kerajaan BN Selangor ada membuat perjanjian dengan Talam bagi penyelesaian hutang pada 29 Julai 2005 dan pada 8 Mac 2007 tetapi pada 14 Julai 2009 Menteri Besar Selangor membatalkan perjanjian-perjanjian itu. BERNAMA

Artikel Lain