suria

Bunuh Rakan Senegara, Tujuh Lelaki Myanmar Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam pergaduhan dua kumpulan sehingga mengorbankan seorang lelaki senegara di Jalan Landak off Jalan Pudu, pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, polis kini menjejaki saki-baki mereka yang terlibat dalam pergaduhan itu yang turut menyebabkan tiga lagi cedera.

Kesemua mereka ditahan di sekitar Kuala Lumpur, katanya, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini Rabu.

Dalam kejadian berasingan, Ku berkata seorang pelajar kolej warga Nigeria maut selepas diserang sekumpulan lelaki senegara ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah pasar raya di Kepong, pada 16 Ogos lepas.

Beliau berkata, mangsa yang berumur 27 tahun dan belajar di sebuah kolej di Taman Tun Dr Ismail di sini, diserang dengan menggunakan botol kaca dalam kejadian pukul 11.30 malam itu.

"Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia pada 19 Ogos di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas mengenai kejadian pecah rumah sepanjang tempoh enam hari sejak 16 Ogos pada musim perayaan ini, Ku berkata, sebanyak 48 kes pecah rumah dilaporkan dan kawasan Sentul mencatatkan laporan kes pecah rumah tertinggi iaitu dengan 22 laporan.

Dalam tempoh sama tahun lalu, sebanyak 57 kes pecah rumah dilaporkan. - BERNAMA

Artikel Lain