suria

Persatuan Penjaja, Peniaga Kecil Dilindungi Insurans Percuma

KUANTAN: Lebih sejuta ahli persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara bakal dilindungi insurans percuma yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata skim insurans itu merupakan antara beberapa pendekatan yang diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam menangani isu yang dihadapi peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara serta aspek kebajikan ahli-ahlinya.

"Skim insurans itu akan diuruskan oleh Bank Rakyat manakala pihak kerajaan akan menanggung semua kosnya," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil Negeri Pahang di sini, Selasa.

Beliau berkata selain itu, pihaknya menubuhkan Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil di peringkat kebangsaan dan negeri dengan beliau sendiri bertindak sebagai pengerusi di peringkat kebangsaan.

Katanya bagi majlis di peringkat negeri pula, exco yang bertanggungjawab menjaga kebajikan penjaja dan peniaga kecil akan dilantik sebagai pengerusinya.

"KPDNKK juga akan menyediakan program latihan dan kemahiran kepada penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara yang disediakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia," katanya.

Ismail Sabri berkata program latihan dan kemahiran itu akan diadakan di peringkat daerah bagi memudahkan ahli-ahli persatuan menghadirinya.

Menurutnya, KPDNKK juga akan menganjurkan Konvensyen Nasional pada September yang akan membincangkan pelan perancangan program lima tahun khusus untuk penjaja dan peniaga kecil.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut berdialog bersama ahli persatuan yang hadir, yang antara lain mengemukakan soalan berkaitan isu minyak masak dan masalah lain yang dihadapi perniagaan masing-masing.

Menjawab soalan seorang ahli mengenai isu minyak masak yang sering kali dihadapi mereka setiap kali bulan Ramadan dan perayaan, Ismail Sabri mencadangkan kepada persatuan itu supaya menubuhkan sebuah koperasi milik persatuan.

"Dengan penubuhan koperasi ini, maka ahli-ahli persatuan boleh mendapatkan produk seperti minyak masak di koperasi itu tanpa perlu berebut dengan orang ramai di pasar raya biasa, sekaligus memudahkan ahli-ahli persatuan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain