suria

Presiden Kazakhstan Tiba Untuk Lawatan Dua Hari

SEPANG: Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini untuk lawatan negara dua hari bermula Selasa.

Pesawat yang membawa Nazarbayev mendarat di KLIA pada 3.30 petang dan sejurus ketibaan beliau diperkenalkan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman oleh rakan sejawatan Anifah dari Kazakshtan, Yerzhan Kazykhanov.

Turut hadir menyambut ketibaan Nazarbayev ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor selaku menteri pengiring.

Ini adalah lawatan ketiga Nazarbayev ke Malaysia dalam tempoh 16 tahun, yang mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Kazakhstan. Dua lawatan terdahulu adalah pada 1996 dan 2006.

Pada lawatan kali ini, Nazarbayev diiringi delegasi yang terdiri daripada menteri dan juga pegawai kanan kerajaan.

Kazakhstan merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dari rantau Asia Tengah, manakala Malaysia adalah rakan dagang kedua terbesar Kazakshtan bagi kelompok Asean.

Pada 2011, jumlah dagangan kedua-dua negara berjumlah US61.1 juta dengan import Malaysia mencecah US$1 juta sementara eksport pula US$60.1 juta.

Nazarbayev dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Rabu.

Beliau juga dijangka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada Rabu, di mana akan diadakan mesyuarat delegasi bagi membincangkan isu dua hala, rantau dan antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain