suria

Penternak Kolam Ikan Dipenjara Sehari, Denda RM15,000 Rasuah Pegawai TNB

KUALA LUMPUR: Seorang penternak kolam ikan pada Isnin dihukum penjara sehari dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM3,000 kepada seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), tahun lepas.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhi hukuman itu terhadap Yow Wah Hing berkuatkuasa pada Isnin dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Yow, yang tinggal di Salak South Baru di sini membayar denda tersebut.

Yow, 51, didakwa memberi suatu suapan wang tunai RM3,000 kepada Penyelia Keselamatan Kanan TNB, Mohd Sanusi Zakaria sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Yow yang telah melakukan kesalahan mengubah suai meter elektronik di kolam ternakan ikan di Lot 1356, Kampung Orang Asli, Hulu Langat, dekat sini pada 3.15 petang, 12 Ogos 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Yow yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan ke atasnya kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga selain kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Nur Lokman Samingan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain