suria

Lapan Exco Kedah Angkat Sumpah

ALOR SETAR: Lapan anggota exco kerajaan negeri pada Selasa mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini.

Mereka adalah Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Lim Soo Nee, Abd Ghani Ahmad, Tan Joon Long @ Tan Chow Kang, Datuk Siti Ashah Ghazali dan S. Manikumar, yang masing-masing menerima tawaran pelantikan semula.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini mengumumkan hanya lapan exco akan mengangkat sumpah jawatan bagi sesi 2012 walaupun lazimnya exco kerajaan negeri dibarisi 10 anggota.

Dua exco sedia ada yang tidak termasuk dalam senarai mengangkat sumpah sumpah hari ini ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr. Ismail Salleh.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah tiga lagi anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Kedah merupakan satu-satunya negeri dengan jawatan pengerusi jawatankuasa peringkat negeri (exco) perlu diperbaharui setiap tahun.

Sebelum ini, Phahrolrazi dan Dr. Ismail telah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan mereka dilantik semula ke jawatan itu. — BERNAMA

Artikel Lain